May 6, 2010

Biasiswa ditarik jika prestasi merosot

0 comments
Photo credit: websiteredesignblog.wordpress.com
Source: Berita Harian Online

2010/04/09

KUALA LUMPUR: Tajaan kerajaan bagi pelajar cemerlang yang melanjutkan pelajaran menerusi Program Ijazah Luar Negara (PILN) akan ditarik balik sekiranya pencapaian mereka merosot atas faktor kesalahan sendiri, terutama akibat masalah disiplin seperti kerap ponteng kuliah.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, berkata jika ia berlaku, pelajar terbabit juga akan dikehendaki membayar semula kos pembiayaan yang sudah disalurkan kepadanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan menarik balik biasiswa itu jarang berlaku dan hanya diambil bagi kes terpencil kerana pelajar yang menghadapi masalah lazimnya akan diberi kaunseling terlebih dulu, sama ada oleh pegawai kaunselor universiti mahu pun pegawai Kedutaan Malaysia.

“Kita menjalankan pemantauan berterusan terhadap semua pelajar yang melanjutkan pelajaran di bawah tajaan menerusi PILN, termasuk mendapatkan laporan dari semasa ke semasa daripada pihak universiti.

“Pelajar yang mencatat prestasi pencapaian kurang memberangsangkan dalam pengajian selepas sudah berusaha sedaya upaya, kita tengoklah macam mana (untuk membantu mengatasi masalah itu). Bukan salah dia, kita tidak menghukumnya (menarik balik tajaan). Ada kala pihak universiti memberikan peluang kedua kepada pelajar itu,” katanya kepada Berita Harian, ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan peruntukan RM1.24 bilion tahun ini bagi menaja 1,500 pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam bidang kritikal, termasuk perubatan, pergigian, farmasi dan kejuruteraan melalui PILN.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik sebagai berkata biasiswa melalui JPA itu diperuntukkan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.
Bagi biasiswa PILN, JPA menerima 18,844 permohonan dan daripada jumlah itu, 10,114 permohonan diterima daripada calon yang melepasi gred minimum kelayakan.
Ismail berkata, pelajar terpilih akan mengikuti kursus persediaan berdasarkan program peringkat ijazah yang bakal diikuti, mulai Jun ini di institusi pengajian awam dan juga swasta.

“Secara keseluruhan mereka adalah pelajar pandai dan sudah biasa berdikari untuk mengejar kecemerlangan. Oleh itu, masalah kejutan budaya amat jarang timbul,” katanya.

Leave a Reply

 
Powered by Blogger. Designed by DheTemplate.com. Customized by Aiman Azlan.

From students. For students.